Tuesday, May 26, 2009

yasin.

Salam,:
Yaasin,Walqura-nilhakim.Innakala minalmursalin.A'lasiratil mustaqim.Tanzilal azizirrahim.Litunziraqaumamma unzila aba uhum fahum ghafilun.Kirim surah Yaasin ini kepada 7 insan berugama islam.. Insya Allah esok saudara akan menerima khabar yang baik, gembira dan rezeki anda sentiasa berada di tangan anda dengan izin Allah.Mengapa saya tulis 'LAGI', ya? Sebabnya saya dahpun terima email sebegini, beberapa tahun yang lepas, sekarang email itu masuk kembali ke mailbox saya. Sebenarnya ada banyak versi email yang mengandungi mesej yang baik-baik, dimulakan dengan pembacaan ayat-ayat al-Quran, peringatan dan sebagainya, namun pada pengakhiran mesej, dimintanya kita menyebarkan kepada 10-20 orang lain, diselitkan pula mesej, "Insya Allah esok saudara akan menerima khabar yang baik, gembira dan rezeki anda sentiasa berada di tangan anda dengan izin Allah." atau "Insya Allah, situasi kewangan anda akan lebih baik.." bla... bla... bla...Saya merasa kesal kerana masih ramai umat Islam yang masih keliru aqidah mereka. Sememangnya kita digalakkan, malah diberi pahala apabila membaca, mendengar malah melihat tulisan-tulisan yang mengandungi kalamullah (al-Quran). Lebih digalakkan supaya kita mempelajari bacaan tajwidnya dan memahami maksudnya.Kita juga dianjurkan ingat mengingat sesuai dengan perintah dalam surah al-Asri. Semuanya bagus cuma apabila ingatan-ingatan tersebut diikuti dengan pesanan supaya mesej ini dikirim kepada 7 insan berugama islam... "Insya Allah esok saudara akan menerima khabar yang baik, gembira dan rezeki anda sentiasa berada di tangan anda dengan izin Allah", maka disinilah letaknya KECELARUAN akidah/keyakinan umat Islam.Antara keyakinan yang wajib bagi umat Islam ialah percaya kepada Qadar dan Qadar. Ini terkandung dalam 6 rukun imam yang wajib kita yakini. Jangan kita hanya percaya tetapi tetap menyengutukan keyakinan tersebut dengan satu amalan yang merosakkan keyakinan itu sendiri. Ini samalah seperti kita percaya kepada Allah tetapi tetap menyembah patung.Apabila kita mengikut arahan pada akhir email ini, secara sedar atau tidak dan secara langsung atau tak langsung kita sebenarnya yakin dengan pesanan tersebut dan mengharapkan esok kita akan menerima khabar yang baik, gembira dan rezeki anda sentiasa berada di tangan kita. Dengan izin Allah. Sedangkan kita sepatutnya berusaha beramal dengan membaca surah Yasin (keseluruhannya) sebagai amalan sunat, tidak meninggalkan solat fardu, tidak meninggalkan kewajipan kepada Allah dan kepada makhluk dan berusaha untuk mencari nafkah dengan cara yang halal. Kemudian kita bertawakkal sama ada khabar baik atau buruk yang bakal kita terima esok atau hari seterusnya.Kadangkala satu perbuatan yg kita anggap saja-saja sekadar uji, test, cuba, try itu ini semakin hari semakin akan mengikis iman kita dan iman rakan-rakan yang kita hantar mesej sebegini. Tidakkah kita mahu mencari punca amalan ini, apakah ini amalan yg diajarkan oleh Nabi atau ulama-ulama kita? Atau ianya adalah perancangan musuh-musuh Islam yang mencari peluang atas kealpaan dan sikap 'mudah percaya' yang menular di sanubari umat ketika ini?Cuba kita tanya pada hati kita, semasa kita menghantar mesej sebegini, apakah ianya atas dasar mahu ingat mengingati atau kita sebenarnya mengharapkan rezeki datang menggolek dengan izin Allah? Jika benar-benar rezeki datang esoknya, maka tentulah kita akan lebih yakin bahawa rezeki itu datang disebabkan kita menghantarkan kepada rakan-rakan sebanyak bilangan yang diarahkan. Keyakinan kepada Allah sudah terjejas tanpa kita sendiri sedari!Lantas kita akan terus mengikut arahan-arahan lain yang mungkin datang selepas ini. Bila sudah manthob keyakinan seperti ini maka umat Islam akan terus mengikut apa pun arahan email yg tak tahu siapa pengirim asalnya. Bermakna kita sudah menumpahkan/mengongsikan keyakinan kita kepada arahan email bukan lagi kepada Allah semata-mata.Apabila kita di depan Kaabah, kita sembah Allah. Kita bukan sembah Ka'abah. Kalau sembah Kaabah syirik. Basic akidah kena kita perbetulkan. Kalau kita sebar email surah yassin pada 7 orang akan dapat bla... bla....... itu SYIRIK namanya! Kalau percaya sebar email yasin pada 7 orang dapat itu dan ini, jatuh syirik! Rosak akidah kita! Seolah-olah menyebar email yang memberi 'bekas' - musibah atau malapetaka atau kebahagian atau kesenangan. Kita lupa, yang memberi bekas CUMA Allah SWT!Perlu diingatkan, dosa mensyirikkan Allah adalah dosa paling besar. Allah berfirman yang bermaksud: "Sesungguhnya Allah tidak akan mengampunkan dosa syirik mempersekutukan-Nya (dengan sesuatu), dan akan mengampunkan dosa yang lain daripada itu bagi sesiapa yang dikehendaki-Nya (menurut aturan syariat-Nya). Dan sesiapa yang mempersekutukan Allah (dengan sesuatu yang lain), maka sesungguhnya ia sudah melakukan dosa besar." (Surah al-Nisa', ayat 48)Fikir-fikirkanlah. Selamatkan akidah kita dari unsur-unsur syirik

Monday, May 25, 2009

khutbah terakhir Rasullah

KHUTBAH Hujjatul Wada adalah khutbah terakhir Rasulullah SAW. Baginda menyampaikan khutbah itu pada upacara kemuncak ibadat haji iaitu ketika melakukan wukuf di Arafah pada 9 Zulhijjah, 10 Hijrah.Seumur hidup, Rasulullah SAW hanya melakukan ibadat haji sekali. Ketika itu, berpuluh ribu rombongan haji dari negara seperti Iraq dan Kuwait turut hadir melaksanakan haji bersama Baginda.Khutbah Hujjatul Wada penting kerana di dalamnya terkandung mesej yang perlu difahami, diingati dan diikuti umat Islam walaupun selepas Rasulullah SAW wafat. Jika diamati, hampir semua mesej disampaikan Baginda menyentuh hubungan sesama manusia.
Baginda SAW ketika itu sudah mengetahui umurnya tidak panjang dan perlu mengingatkan umat Islam kesimpulan bagi apa yang disampai dan diajarkan kepada ummah sepanjang hidup Baginda.Antara mesej Rasulullah SAW ialah hak asasi manusia iaitu kesucian darah manusia yang tidak patut ditumpahkan ke muka bumi dengan sia-sia. Semua insan harus bersama menjaga kesucian itu.Dalam khutbah itu Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Wahai manusia! Darah dan harta kamu mesti dihormati sehingga kamu bertemu kembali dengan Tuhan kamu. la mesti dihormati seperti kehormatan hari kamu ini (hari Arafah) dan kehormatan bulan kamu ini (bulan haram Zulhijjah).”
Rasulullah SAW turut menyebut mengenai penjagaan harta. Ini adalah mesej kedua terkandung dalam khutbah yang turut menekankan kesucian harta milik seseorang sepatutnya tidak diganggu atau diambil individu lain tanpa persetujuan pemiliknya.Baginda menambah: “Semua amalan riba dihapuskan. Namun kamu berhak memiliki modal kamu tanpa kamu menzalimi atau dizalimi. Allah menetapkan tiada riba (lagi diamalkan).”Di sini dapat kita lihat amalan riba ditolak sama sekali dalam Islam kerana menindas peminjam dengan mengenakan bayaran kembali dalam jumlah melebihi modal dipinjamkan. Ini menzalimi si peminjam yang kemungkinan besar masih kesempitan wang.Sistem perbankan dunia kini yang berlandaskan riba juga menyebabkan krisis ekonomi yang menekan negara miskin terutama Negara Dunia Ketiga. Oleh itu, sesiapa yang mengamalkan riba ibarat memerangi Allah yang dosanya adalah besar di sisi Allah.
Dalam khutbah Hujjatul Wada, Rasulullah SAW juga menyebut hak wanita dalam hubungan suami isteri dan masyarakat. Baginda SAW bersabda yang bermaksud: “Wahai manusia! Kamu mempunyai hak ke atas isteri kamu dan mereka pula mempunyai hak ke atas kamu.”Wanita berhak ke atas suaminya untuk menerima nafkah zahir dan batin termasuk tempat berlindung, pakaian dan hubungan intim suami isteri. Wanita juga tidak boleh dijadikan hamba dan ditindas dalam institusi kemasyarakatan.Baginda SAW menyambung lagi: “Jika mereka melakukannya (kejahatan atau kemungkaran), Allah membenarkan kamu untuk meninggalkan tidur dengan mereka dan memukul mereka dengan pukulan tidak keras. Jika mereka berhenti daripada perbuatan ini, mereka berhak mendapat rezeki dan pakaian yang baik. Terimalah pesanan aku untuk berbuat baik dengan wanita ini. Mereka adalah pembantu kamu. Mereka tidak memperoleh apa-apa bagi diri mereka. Kamu mengambil mereka sebagai amanah Allah serta menghalalkan kemaluan mereka dengan kalimah Allah.”Seterusnya Baginda SAW berpesan supaya berpegang kepada dua sumber utama Islam iaitu kitab al-Quran dan sunnah kerana tidak akan menyesatkan dan tidak hilang sehingga kiamat. Baginda SAW bersabda yang bermaksud; “Fahamilah sabdaku ini, wahai manusia! Sesungguhnya aku sudah menyampaikan. Aku tinggalkan kepada kamu satu perkara yang jelas, jika kamu berpegang teguh dengannya, kamu tidak akan sesat selama-lamanya, (yakni) kitab Allah dan sunnah nabi-Nya.”Akhirnya Rasulullah SAW berpesan semua umat Islam itu bersaudara dan mesti saling mengingati dengan melakukan dakwah, seruan penting bagi sentiasa mengingatkan umat Islam supaya kekal di jalan lurus dan tidak terpengaruh dengan amalan hidup kekafiran.Baginda SAW bersabda pada hujung pesanan dalam khutbah itu yang bermaksud: “Wahai manusia! Dengar dan fahamilah sabdaku. Kamu tahu bahawa setiap orang Islam saudara (bertanggungjawab) kepada orang Islam yang lain. Sesungguhnya orang Islam bersaudara.”Pada akhir katanya, Baginda SAW bertanya kepada jemaah haji yang mendengar khutbah itu sama ada Baginda sudah menyampaikan apa yang patut disampaikan sebagai Rasul kepada umatnya. Semua hadirin mengiyakan Baginda sudah melunaskan tanggungjawabnya. Baginda SAW menunjuk ke langit seraya meminta Allah menyaksikan peristiwa itu. Tiga kali Baginda bertanya begitu dan mendapat jawapan yang sama daripada jemaah serta bersaksi dengan menunjukkan jarinya ke langit.Tamatnya khutbah Hujjatul Wada itu, cuma Abu Bakar yang menitiskan air mata kerana beliau memahami kesimpulan khutbah itu ialah Rasulullah SAW bakal meninggalkan umatnya dan terpulang kepada kita sebagai pengikutnya untuk mengingati pesanan itu tanpa Baginda yang dikasihi berada di sisi. Persoalannya adakah masyarakat kita hari ini masih mengingati dan mematuhi amanah Baginda kepada kita?

kisah rAsullah..

Rasullullah SAW dikatakan hanya menerima beberapa qirat (satu qirat bersamaan dengan 1/24 dinar) sebagai upah untuk mengembala kambing milik penduduk Mekah.
Upah tersebut mungkin jauh dari memadai memandangkan kemampuan bapa saudara baginda Abu Talib yang terhad untuk menyara keluarganya sendiri dan Nabi Muhammad yang dalam jagaan beliau itu.
Sehinggalah pada suatu hari, Abu Talib berkata kepada anak saudaranya itu: "Khadijah Putri Khuwailid termasuk orang kaya di kalangan Quraisy. Kegiatan perdagangannya sampai ke Mesir dan Ethiopia.
"Beliau kini sedang mencari seorang yang jujur dan amanah untuk melaksanakan usaha dagangnya itu, iaitu membawa barang dagangannya dalam satu kafilah Quraisy untuk diniagakan di Syam (Syria).
"Wahai Muhammad, alangkah bagusnya jika kau melamar pekerjaan ini dari wanita itu?"
Kemungkinan atas rasa segan Nabi Muhammad tidak segera melamar pekerjaan itu walaupun baginda sangat bersetuju memenuhi permintaan bapa saudaranya.
Ini kerana baginda tidak pernah berkenalan dengan Siti Khadijah sebelum ini dan baginya adalah tidak salah supaya wakil pihak wanita itu untuk menemuinya.
Apabila permintaan ini sampai kepada pengetahuan Siti Khadijah, dengan segera wanita ini telah menghantar seorang wakil menemui Rasulullah dan menyampaikan pesanan yang berbunyi: "Saya begitu menghormati tuan atas kelurusan, kejujuran dan keunggulan akhlak peribadi yang tuan miliki.
"Oleh itu, jika barang dagangan saya dalam urusan tuan maka saya akan memberikan upah dua kali ganda banyak berbeza dari yang biasa saya beri kepada orang lain.
"Di samping saya akan memberi kepada tuan dua budak suruhan yang akan membantu dan menuruti apa juga arahan yang tuan berikan kepada mereka," pesan Khadijah.
Sebagaimana biasa, Nabi Muhammad akan merujuk kepada bapa saudara bagi mendapatkan pendapat dan nasihat lalu Abu Talib berkata: "Tawaran ini merupakan sumber nafkah yang Allah SWT limpahkan kepadamu wahai Muhammad, terimalah dan laksanakanlah amanah ini dengan jujur dan amanah. Semoga Allah berkati perjalanan dan urusanmu."
Lalu kepada wakil itu, Nabi Muhammad menyatakan persetujuan menerima tawaran dari Siti Khadijah dan tanpa membuang masa baginda bergegas untuk membantu wanita itu.
Baginda mengetuai sebuah kafilah barang-barang dagangan milik Siti Khadijah untuk dibawa berdagang ke negeri Syam. Bersama baginda dua orang budak suruhan seperti yang dijanjikan oleh wanita itu.
Pemergian kali ini merupakan satu lagi usaha baru yang dilakukan oleh Rasulullah. Sebelum ini baginda terlibat dalam pelbagai kegiatan termasuk mengembala kambing yang baginda lakukan sejak dalam jagaan ibu susuannya, Halimah Saadiah sehinggalah terlibat dalam peperangan dan sebagainya.
Baginda tidak sekadar membawa dagangan milik Siti Khadijah supaya selamat sepanjang perjalanan ke Syria untuk diniagakan, tetapi baginda juga perlu niagakan barang dagangan itu seperti yang diamanahkan oleh wanita bangsawan itu.
Ini bererti baginda sanggup menyahut apa juga cabaran lebih-lebih lagi melibatkan perkara yang baru atau yang tidak pernah ditempuh oleh baginda sebelum ini.
Hasilnya, sejurus baginda selamat tiba di Syria, diringkaskan seluruh anggota kafilah yang mengikuti rombongan yang diketuai oleh baginda itu akhirnya pulang semula ke Mekah dengan hasil perniagaan yang sangat menguntungkan!
Namun keuntungan yang diperoleh oleh baginda sendiri adalah lebih menguntungkan berbanding saudagar-saudagar yang mengikuti rombongan baginda itu.
Peribadi yang menarik
Disebabkan ia merupakan pengalaman pertama baginda berniaga dan juga membawa barang dagangan orang lain, tentulah ia suatu keadaan yang menyukarkan kepada baginda.
Namun ternyata cabaran itu berjaya disahut dan ini menambahkan lagi kematangan dan kemahiran kepada baginda.
Baginda kemudiannya bersama ahli rombongan yang lain kembali semula pulang ke Kota Mekah dalam satu perjalanan yang dipelihara Allah, selamat dari sebarang mara bahaya.
Semasa kafilah itu berada tidak jauh dari Mekah, budak suruhan yang bernama Maisarah menyarankan kepada Nabi Muhammad supaya baginda memasuki Kota Mekah lebih dahulu dari mereka.
"Alangkah baiknya jika tuan memasuki Mekah mendahului kami dan segera khabarkan kepada Khadijah mengenai perdagangan dan keuntungan besar yang kita perolehi dari Syam ini.
"Tentu beliau gembira dan tuan sendiri akan sentiasa menjadi orang kepercayaan Khadijah setiap kali untuk berniaga jauh dari Kota Mekah, tuan juga yang mendapat untung," kata Maisarah.
Baginda tidak bermasalah untuk menerima saranan Maisarah itu. Dengan segera baginda berkejar ke Mekah semata-mata untuk menemui Siti Khadijah.
Di Kota Mekah, Siti Khadijah berlari turun dari kamarnya apabila mendapati seorang pemuda tampan yang beliau kenali datang hendak menemui beliau dengan hati penuh berdebar.
Beliau segera bertanyakan kepada pemuda tersebut akan berita yang hendak disampaikan kepadanya.
Walaupun ini merupakan kali pertama baginda bertemu Khadijah secara bersemuka, namun baginda tidak mempunyai masalah berkongsi berita-berita gembira mengenai barang dagangan milik Khadijah yang laris dalam perniagaan di Syam.
Tidak lama kemudian Maisarah pun tiba dan terus menyertai pertemuan antara Khadijah dan Nabi Muhammad itu dan tanpa sabar-sabar beliau pun bercerita kepada Khadijah.
Maisarah menceritakan kepada wanita itu pengalaman sepanjang beliau menjadi budak suruhan Nabi Muhammad, termasuk apa yang berlaku dan dilihat sepanjang perjalanan dagangan itu.
Khadijah diberitahu mengenai Rasulullah mempunyai peribadi yang menarik, akhlak yang mulia, fikiran yang tajam, tutur kata yang benar, sangat amanah dan bijak dalam berurusan dengan para peniaga dan pelanggan-pelanggan.
Oleh kerana baginda hanya menonjolkan yang terbaik, termasuk tidak pernah meninggikan suara dan berhemah tinggi menyebabkan ramai yang menyukai dan gemar berurusan dengannya.
Di masa lain, Maisarah juga menceritakan kepada wanita ternama ini bagaimana Rasulullah juga pernah berselisih faham dengan seorang pedagang yang lain yang hendak bersumpah demi berhala Lat dan Uzza.
Tetapi Nabi Muhammad menjawab: "Saya menganggap Lat dan Uzza yang tuan sembah itu sebagai benda-benda yang paling buruk dan nista di muka bumi ini!"
"Ini menyebabkan pedagang itu terdiam dan tidak lagi hendak bertelagah dengan Muhammad," kata Maisarah.
Maisarah juga bercerita mengenai pengalaman mereka ketika berhenti rehat di Busra.
Ia adalah kisah yang mempunyai persamaan seperti yang berlaku ketika baginda mengikuti rombongan dagangan bapa saudaranya, Abu Talib dahulu.
Tetapi diceritakan kali ini, di Busra iaitu ketika al Amin (gelaran kepada Nabi) duduk berehat di bawah sepohon pokok dan tanpa disedari perlakuan baginda diperhatikan oleh seorang pendita atau rahib Nasrani yang keluar dari biaranya.
Rahib itu kemudiannya bertanyakan kepada Maisarah sendiri mengenai Nabi Muhammad yang sedang berehat itu.
Lalu Rahib itu berkata: "Pemuda yang sedang duduk di bawah naungan pohon itu adalah Nabi, yang mengenainya telah saya banyak baca khabar gembira di dalam kitab Talmud (Taurat) dan Injil".
Segala kisah yang diceritakan oleh Maisarah ini benar-benar menjadikan Khadijah seperti dikuasai oleh kuasa magis atau terpukau. Khadijah benar-benar amat tertarik kepada Nabi Muhammad.
Sehinggakan Khadijah meminta supaya Maisarah berhenti dari menceritakan mengenai Muhammad.
"Maisarah, Maisarah cukuplah, cukuplah!
"Engkau telah melipatgandakan perhatian saya terhadap Muhammad.
"Sekarang saya bebaskan engkau dan isterimu dari menjadi hamba saya lagi. Untuk itu juga saya hadiahkan sebanyak 200 dirham, dua ekor kuda dan sepasang baju yang mahal," kata Khadijah.
Maisarah dan isterinya bebas gara-gara kisah Nabi Muhammad! Siti Khadijah tidak lama kemudian didatangi oleh satu mimpi yang aneh. Ikuti

Tuesday, May 19, 2009

memang tidak pernah..

benar..,
aku tidak pernah menagihnya..
untuk datang menghiasi jiwa,
jika yang ada telah langsai derita,

masih ingin berbeku,
pada awan untuk kau hadir,
yang kau kata sepi,
untuk kau hadir pada ku..
walau ku menolak,
kau himpit di sisi..
lelah,aku kalah..

tak tersanggupkan
untuk benar merasai
bila tenang lebih begini,
episod cinta..
mukadimahnya belum tentu ceria..
atau perlu di bungkus kisah..
jika ini damaiku,
izinkan aku sendiri..
kemudi apa jua segala..

rela senyumku di tawan lintang panjang..
dari rakus tak berhala..
denai sang cinta buta..

dugaanNya

Dalam derita ada bahagia,
Dalam gembira,mungkin terselit duka.
Tak siapa minta ujian bertemu,
Bibir mudah mengucapkan sabar,
Tapi,hatilah yang remuk menderita,.
Insan memandang mempunyai berbagai tafsiran..

Segala takdir,terimalah dengan hati terbuka,
Walau terseksa,ada hikmahnya..
harus ada rasa bersyukur,
Di setiap kali ujian menjelma..

ALLAH mengasihanimu,
Di uji tahap Keimananmu,
Sedangkan ramai terbiar di lalaikan..
Antara berjuta mendapat rahmat..

perhati dan fikirkan..


renungan